Skip links

PISKANITA UniMAP kumpul dana bantu kanak-kanak autisme

ARAU: Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengumpul dana lebih RM130,000 bagi membantu kanak-kanak autisme di bawah kendalian Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) UniMAP.

Pengerusi PISKANITA, Datin Azliza Ahmad berkata, pihaknya terharu sambutan daripada pelbagai pihak bagi mengumpul dana untuk meningkatkan kesejahteraan anak autisme.

Katanya, MyUS Group of Companies dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) masing-masing menyumbang sejumlah RM40,000 bagi meningkatkan peluang serta kemudahan terapi cara kerja dan terapi deria kepada anak-anak autisme dalam kalangan ahli keluarga warga UniMAP dan komuniti Perlis.

“Malah Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menyumbang dana sebanyak RM20,000.

“Kami komited memanfaatkan sumbangan dana tersebut untuk meningkatkan kesejahteraan anak-anak autisme di Perlis,” katanya ketika ditemui selepas majlis Majlis Hi-Tea Limpahan Kasih PISKANITA UniMAP dan A-HEART UniMAP di Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini petang semalam.

Berangkat hadir pada majlis tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli, Pengerusi Eksekutif MyUS Group of Companies, Dato’ Nellson Young; dan Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Dato’ Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Majlis amal bertemakan ‘Limpahan Kasih’ itu dihadiri lebih 300 tetamu termasuk kanak-kanak autisme bersama-sama ibu bapa masing-masing.

Program itu turut menampilkan Anuar Zain sebagai artis jemputan.

Azliza juga berkata, konsep kutipan dana melalui tajaan dan jualan tiket secara individu atau berkumpulan yang diterima bermula dari RM3,000 sehingga RM40,000.

Katanya, pihak penganjur menghargai sumbangan yang diberi oleh syarikat, industri, agensi dan individu.

“Terima kasih kepada penyumbang dan penaja secara keseluruhannya berjumlah 48 agensi,” katanya.

Sementara itu Dr Zaliman berkata, kejayaan penganjuran program tersebut menunjukkan kekuatan jaringan strategik antara universiti, PISKANITA dan A-HEART. – HARAKAHDAILY 6/1/23

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2023/02/06/piskanita-unimap-kumpul-dana-bantu-kanak-kanak-autisme/

Leave a comment

Explore
Drag